Wednesday, September 10, 2008

Targhib wa Tarhib

IMAN

Hadrat Abu Sa’id Al-Khudri r.a berkata bahawa saya telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, “ Barangsiapa yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Sekiranya dia tidak mampu, hendaklah dia mengubahnya dengan lidahnya. Sekiranya dia tidak mampu maka hendaklah dia mengubahnya dengan hatinya. Yang sedemikian itu adalah iman yang selemah-lemahnya.” (Dipetik drpd Kitab at-Targhib, Hadith riwayat Muslim, Tirmizi, Nasai dan Ibnu Majah)

Dalam satu hadith yang lain,“Sesiapa yang berusaha bersungguh-sungguh (untuk menhubah kemungkaran) dengan tangannya, dia adalah seorang mukmindan sesiapa yang berusaha bersungguh-sungguh mengubah dengan lidahnya, dia adalah seorang mukmindan sesiapa yang berusaha bersungguh-sungguh dengan hatinya, dia adalah seorang mukmin dan tiada darjah iman yang lebih rendah daripada itu.” (Hadith riwayat Muslim)

Diriwayatkan daripada Hazrat ‘Aishah r.ha katanya, “ Pada satu ketika Rasulullah s.a.w telah masuk ke rumah dan saya dapat merasakan daripada wajah Baginda s.a.w bahawa suatu perkara yang besar telah menimpanya. Baginda s.a.w telah berwudhuk dan tidak bercakap dengan sesiapa pun. Aku telah merapatkan diri ke dinding untuk mendengar perkara yang disabdakan oleh baginda s.a.w. Baginda s.a.w telah duduk di atas mimbar lalu memuji dan memuja Allah s.w.t lantas bersabda,” Wahai manusia, sesungguhnya Allah s.w.t telah berfirman kapada kamu, Suruhlah manusia berbuat baik dan laranglah mereka daripada melakukan kemungkaran, sebelum tiba masanya kamu berdoa kepadaKu tetapi Aku tidak akan memperkenankan doa kamu. Kamu meminta daripadaKu tetapi Aku tidak akan memberikan kepadamu, kemudian kamu memohon bantuan kepadaKu (terhadap musuhmu) tetapi Aku tidak akan membantu kamu.” Baginda s.a.w tidak menambah selain daripada perkataan itu sehingga Baginda s.a.w turun dari mimbar.”(Hadith riwayat Ibnu Hibban dalam Sahihnya dan Ibnu Majah)

Diriwayatkan oleh Hazrat Huzaifah r.a bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda, “ Demi Dia yang nyawaku di tanganNya, hendaklah kamu menyuruh manusia kepada kebaikan dan mencegah mereka daripada kemungkaran. Jika tidak, Allah s.w.t akan menurunkan azab ke atas kamu dan kemudia kamu akan berdoa kepadaNya tetapi Dia tidak akan memperkenankan doa kamu.” (Dipetik drpd Kitab Targhib, Hadith riwayat Tirmizi)

Diriwayatkan daripada Hazrat Abu Hurairah r.a, beliau berkata bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda, “Apabila umatku mengagungkan dunia, maka kehebatan Islam akan dicabut daripada mereka. Apabila mereka meninggalkan amr-bil-ma’aruf dan nahi-‘anil-munkar maka mereka akan diluputkan daripada keberkatan wahyu dan apabila mereka caci-mencaci antara satu sama lain maka mereka akan gugur daripada pandangan Allah s.w.t.” (Dipetik daripada Kitab Durrul-Manthur Hadith riwayat Hakim dan Tirmizi)




SOLAH

Hazrat ‘Abdullah bin ‘Abbas r.huma berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda,“ Barangsiapa yang mendengar azan dan tidak pergi menunaikan solah berjemaah tanpa sesuatu sebab yang menghalangnya (uzur) daripada menyertai solah berjemaah, maka solah yang dikerjakan itu tidak akan diterima,” Para sahabat bertanya, “Apakah uzur itu?” Jawab Rasulullah s.a.w,“Takut atau sakit.”(Hadith riwayat Imam Abu Daud dan Ibnu Hibban)

Diriwayatkan daripada Hazrat Mu’az bin Anas r.a daripada Rasulullah s.a.w bahawa Baginda s.a.w telah bersabda, “ Sungguh-sungguh zalim, kufur dan nifaq mereka yang mendengar peneru Allah s.w.t yakni muazzin yang menyeru kepada solah tetapi mereka tidak pergi menyertai solah berjemaah.”(Hadith riwayat Imam Ahmad dan Tabrani)

Hazrat Abu Hurairah r.a berkata bahawa wajarlah dituangkan timah yang mendidih ke dalam telinga seseorang yang mendengar azan tetapi tidak pergi untuk menunaikan solah berjemaah. Hazrat ‘Abdullah bin ‘Abbas r.huma berkata bahawa seseorang yang mendengar azan tetapi tidak menunaikan solah dengan berjemaah maka dia tidak berniat untuk membuat kebaikan dan dia tidak akan diberi apa-apa pun kebaikan.

Diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas r.huma bahawa beliau telah ditanya mengenai seorang yang berpuasa sepanjang hari dan beribadat sepanjang malam tetapi tidak pergi mengerjakan solah berjemaah dan solah Jumaat. Beliau menjawab,“Dia adalah penghuni neraka.”(Hadith riwayat Imam Tirmizi)

Hazrat Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda,“ Sesungguhnya aku benar-benar berhasrat untuk menyuruh anak-anak muda mengumpul kayu api untukku, kemudian aku ingin pergi kepada mereka yang bersolah di rumah tanpa sebarang keuzuran lalu membakar rumah mereka.”(Hadith riwayat Imam Muslim, Abu Daud, Ibnu Majah dan Tirmizi)